Monday 9 April 2012

AL-QURAN MENJANA TRANSFORMASI UMMAH

AL-QURAN MENJANA TRANSFORMASI UMMAH

Cahaya matahari menyilau mata,
          Rasa pedih berusaha menahan,
Lafaz bismillah pembuka kata,
          Gelanggang syarahan saya mulakan.

          Assalamualaikum w.b.t.Terima kasih tuan pengacara,para hakim yang cendekia,penjaga masa yang setia, seterusnya hadirin umat Muhammad semua.Berdirinya pokok kerana akarnya,berdirinya rumah kerana tiangnya, berdirinya saya di sini kerana hadirin sekalian yang duduk sedia menantikan syarahan saya yang bertajuk "Al-quran Menjana Transformasi Ummah".Sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut dan terperinci lagi,izinkan saya untuk mendefinisikan frasa demi frasa tajuk syarahan saya.

          Frasa yang pertama ialah "al-quran".Al-quran ialah kalamullah yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantara Jibril.Membacanya merupakan satu ibadah dan mendapat pahala.Seperti sabda Rasulullah s.a.w : "Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-quran,maka baginya satu kebaikan,satu kebaikan menyamai sepuluh pahala,Aku tidak bermaksud Alif,Lam,Mim itu satu huruf,tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf"(HR Ad-Tarmizi).Menjana pula bererti mewujudkan atau menghasilkan.Di dalam Kamus Dewan,transformasi bermaksud perubahan bentuk sama ada dalam bentuk sifat,rupa,keadaan dan sebagainya.Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w di Madinah,frasa 'ummah' merujuk kepada orang Islam.Tetapi pada umumnya,ummah bermaksud masyarakat atau umat manusia.Jadi,secara tuntasnya cogan kata 'Al-quran Menjana Transformasi Ummah' bermaksud al-quran mampu menghasilkan perubahan terhadap umat manusia supaya menjadi lebih baik.

Sidang hadirin paksi umat,
          Meniti hujah saya yang pertama bernaung di bawah kata kunci :Konsep tamadun dari perspektif Islam. Menurut Islam,tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah.Oleh itu,Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah.Menurut Syed Naquib Al-Attas,tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur sesebuah masyarakat.Pandangan ini disokong oleh Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.Ini bermakna masyarakat hari ini masih belum mencapai tahap tamadun dari kaca mata Syed Naquib Al-Attas,kerana masih belum mencapai tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur.Dewasa ini,semakin ramai terutamanya golongan muda terpengaruh dengan budaya negatif yang jauh tersimpang dari ajaran Islam.Hal ini disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak berpegang dengan ajaran al-quran.Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini.Kita perlu mengorak langkah untuk berubah menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Hadirin minda kelas pertama,
          Meniti hujah saya yang kedua bernaung di bawah kata kunci : Al-quran sebagai pegangan.Sabda Rasulullah s.a.w : "Ku tinggalkan kepadamu dua pusaka abadi,apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat,iaitu Kitab Allah dan sunnahku".Maka dengan ini,jelaslah yang al-quran ini merupakan panduan yang hakiki.Al-quran bukan sekadar untuk dibaca malah inti pati al-quran wajib dilaksanakan.Jika masyarakat hari ini mengamalkan kandungan al-quran,maka akhlak masyarakat akan mengikut akhlak Rasulullah s.a.w kerana Saidatina Aisyah pernah berkata :"Akhlak Rasulullah itulah akhlak al-quran".Jadi, dengan hidupnya akhlak al-quran dalam kalangan masyarakat nescaya masalah-masalah gejala sosial seperti berzina,membuang bayi dan berjudi yang meruncing ini dapat dilenyapkan.Oleh itu,kita mesti melangkah dengan seribu kekuatan untuk kembali kepada fitrah dengan menjadikan al-quran sebagai pegangan hidup.

Hadirin warga dewan yang cendekia,
          Meniti hujah saya yang ketiga bernaung di bawah kata kunci : Al-quran adalah pembeza antara yang benar dan salah.Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-quran yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskanpetunjuk dan perbezaan antara benar dengan yang salah".Kehidupan ini tidak pernah sepi daripada suasana yang menimbulkan pertanyaan kepada diri kita.Yang manakah benar? dan bagaimanakah caranya untuk kita membezakan sama ada ia adalah benar atau salah?Jawapannya mudah sahaja.Al-quranlah jawapannya.Al-quran telah diturunkan untuk membezakan antar yang benar dan salah.Jadi mengapa kita perlu bersusah payah untuk memilih antara yang benar dan salah?Semuanya telah terukir di dalam al-quran.Ramai yang telah tersalah memilih jalan kehidupan kerana mereka meninggalkan al-quran.Oleh itu,kita perlu menjadikan al-quran sebagai teman hidup supaya kita tidak tersilap memilih yang benar dan yang salah.

Hadirin yang dirahmati Allah,
         Meniti hujah saya yang keempat bernaung di bawah kata kunci : Al-quran adalah cahaya yang menerangi.Al-quran adalah petunjuk yang menerangi ke arah jalan yang lurus dan selamat.Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah ayat 15 dan 16 yang bermaksud : "Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran dari Allah dan sebuah kitab (al-quran) yang jelas nyata keterangannya.Dengan (al-quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengan al-quran,Allah) keluarkan mereka dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya,dan (dengan al-quran,Allah) menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".Kegelapan adalah suasana kehidupan yang tidak menentu,tidak terarah dan tidak terurus.Ia umpama orang yang berjalan tidak menentu di dalam bilik yang gelap tanpa mengetahui hala tujuannya,dan meraba-raba itu dan ini tanpa mengetahui sama ada ia bermanfaat atau tidak untuk dirinya.Al-quran adalah cahaya yang menerangi sehinnga orang yang menggunakan "suluhan" al-quran sebagai petunjuk akan memiliki kehidupan yang bermatlamat, terarah lagi terurus.

Hadirin pasca kemerdekaan,
          Melalui keempat-empat hujah yang telah saya bentangkan,amat jelas kepada kita seluruh umat manusia bahaw kehadiran al-quran dalam hidup amat bermakna.Dengan mengamalkan inti pati al-quran,kita mampu berubah menjadi lebih baik daripada semalam,dan esok lebih baik daripada hari ini.Pepatah melayu ada menyebut,"hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih".Walaupun kehadiran al-quran memberi sinar dalam kegelapan hidup kita,jika isi kandungannya tidak diamalkan,sinar itu akan hilang sekelip mata.Firman Allah s.w.t,mafhumnya : "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu,melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri".Konklusinya,kita perlu membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah dan mengangkat al-quran sebagai panduan hidup agar hidup kita sentiasa diredhai oleh Maha Berkuasa,Allah s.w.t.Akhir kalam,saya sudahi syarahan saya dengan serangkap pantun.

Al-quran pembimbing sepanjang zaman,
          DiturunkanNya kepada Rasulullah,
Diwasiatkan untuk diamalkan,
          Mampu menjana transformasi ummah.

Sekian,wabillahi taufiq wal hidayah,wassalamualaikum w.b.t.