Monday 29 October 2012

Doa Senjata Mukmin : Waktu Mustajabnya


Sememangnya terdapat waktu yang sangat sesuai untuk berdoa,tetapi kebanyakan daripada kita mensia-siakannya.

Antara waktu yang mustajab itu ialah :

v  Sepertiga Malam
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki di sepertiga malam, lalu berfirman, “ Barang siapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan. Barang siapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barang siapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya.” –Sahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat bab Doa Nisfullail.

v  Ketika Berbuka Puasa
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a bahawa telah mendengar Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka, ada doa yang tidak ditolak.”
-Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da’watuhu.

v  Selepas Solat Fardu
Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah, lalu baginda menjawab, “Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardu.” –Sunan At-Tarmidzi, bab Jamiud Da’awaat.

v  Ketika Berperang
Daripada Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada dua doa yang tidak ditolak atau jarang ditolak iaitu ketika azan dan ketika perang berkecamuk. –Sunan Abu Daud, kitab Jihad.

v  Pada Hari Jumaat
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim bersolat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya. Beliau berisyarat  dengan tangan akan sedikitnya waktu tersebut.” –Sahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat. Sahih Muslim, kitab Jumuah.
Waktu yang sedikit itu tidak diketahui secara tepat dan setiap riwayat menyebut waktu itu secara berbeza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203. Kemungkinan juga waktu tersebut iaitu ketika imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai Solat Jumaat atau selesai waktu Solat Asar bagi yang menunggu Solat Maghrib.

v  Ketika Terbangun Pada Waktu Malam Dalam Keadaan Tidur Mengingati Allah
Daripada Amr bin ‘Anbasah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya.” –Sunan Ibnu Majah, bab Doa.

v  Antara Azan dan Iqamat
Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Doa tidak akan ditolak diantara azan dan iqamat.” –Sunan Abu Daud, kitab Solat.

v  Sewaktu Sujud
Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa kerana saat itu sangat tepat untuk dikabulkan.” –Sahih Muslim, kitab Solat bab Nahi An Qiratul Qur’an fi Ruku’ wa Sujud.

v  Ketika Hujan
Daripada Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu ketika azan dan hujan.” –Mustadrak Hakim dan disahihkan oleh adz-Zahabi.
Imam an-Nawawi berkata, penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. –Fathul Qadir.

v  Ketika Ajal
Daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah s.a.w dating ke rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu baginda merapatkannya kemudian bersabda, “Sesungguhnya tatkala roh dicabut, maka pandangan mata akan mengikutinya.” Semua ahli keluarga itu menjerit. Lalu baginda bersabda, “Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan.” – Sahih Muslim, kitab Janaiz.

v  Malam Lailatulqadar
Allah telah berfirman, “Malam Kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” –Surah al-Qadr : 3 – 5
Imam as-Syaukani berkata, kemuliaan lailatulqadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. –Tuhfatud Dzakirin.

v  Pada Hari Arafah
Daripada Amr bin Syu’aib r.a, daripada bapanya dan daripada datuknya bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah.” –Sunan At-Tarmidzi, bab Jamiud Da’waat.

Semoga kita dapat mengamalkan ilmu yang kita peroleh sebaiknya.InsyaAllah, doa yang hadir bersama kerendahan hati dalam memohon akan dimakbulkan Allah.

Sumber : Mutiara Akidah & Ibadat