Khutbah Terakhir
Rasulullah SAW
Sebelum kita menghayati isi kandungan petikan khutbah
terakhir Rasulullah ini, marilah sama-sam kita berselawat dan salamlah ke atas
junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
“Wahai manusia, dengarlah
baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat
bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan
teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat
hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan
ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang
Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak
menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu
dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai
sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia
telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka
berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil”.
“Wahai manusia, sebagaimana kamu
mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga
berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas
mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak
sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina”.
“Wahai manusia, dengarlah
bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali
sehari, berpuasalah di bulan Ramadan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan
kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap
Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak
seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal
soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu,
awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas
ketiadaanku”.
“Wahai manusia, tidak ada lagi
nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata yang
telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua
perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya
kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang
lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus
mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu
kepada hamba-hambaMu”.
(Khutbah ini disampaikan oleh
Rasulullah SAW pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 hijrah di Lembah Uranah, Gunung
Arafah)