Tuesday 27 November 2012

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH SAW


Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Sebelum kita menghayati isi kandungan petikan khutbah terakhir Rasulullah ini, marilah sama-sam kita berselawat dan salamlah ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil”.

“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina”.

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku”.

“Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu”.

(Khutbah ini disampaikan oleh Rasulullah SAW pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah)

Monday 29 October 2012

Doa Senjata Mukmin : Waktu Mustajabnya


Sememangnya terdapat waktu yang sangat sesuai untuk berdoa,tetapi kebanyakan daripada kita mensia-siakannya.

Antara waktu yang mustajab itu ialah :

v  Sepertiga Malam
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki di sepertiga malam, lalu berfirman, “ Barang siapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan. Barang siapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barang siapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya.” –Sahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat bab Doa Nisfullail.

v  Ketika Berbuka Puasa
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a bahawa telah mendengar Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka, ada doa yang tidak ditolak.”
-Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da’watuhu.

v  Selepas Solat Fardu
Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah, lalu baginda menjawab, “Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardu.” –Sunan At-Tarmidzi, bab Jamiud Da’awaat.

v  Ketika Berperang
Daripada Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada dua doa yang tidak ditolak atau jarang ditolak iaitu ketika azan dan ketika perang berkecamuk. –Sunan Abu Daud, kitab Jihad.

v  Pada Hari Jumaat
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim bersolat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya. Beliau berisyarat  dengan tangan akan sedikitnya waktu tersebut.” –Sahih Al-Bukhari, kitab Da’awaat. Sahih Muslim, kitab Jumuah.
Waktu yang sedikit itu tidak diketahui secara tepat dan setiap riwayat menyebut waktu itu secara berbeza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203. Kemungkinan juga waktu tersebut iaitu ketika imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai Solat Jumaat atau selesai waktu Solat Asar bagi yang menunggu Solat Maghrib.

v  Ketika Terbangun Pada Waktu Malam Dalam Keadaan Tidur Mengingati Allah
Daripada Amr bin ‘Anbasah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya.” –Sunan Ibnu Majah, bab Doa.

v  Antara Azan dan Iqamat
Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Doa tidak akan ditolak diantara azan dan iqamat.” –Sunan Abu Daud, kitab Solat.

v  Sewaktu Sujud
Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa kerana saat itu sangat tepat untuk dikabulkan.” –Sahih Muslim, kitab Solat bab Nahi An Qiratul Qur’an fi Ruku’ wa Sujud.

v  Ketika Hujan
Daripada Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu ketika azan dan hujan.” –Mustadrak Hakim dan disahihkan oleh adz-Zahabi.
Imam an-Nawawi berkata, penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. –Fathul Qadir.

v  Ketika Ajal
Daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah s.a.w dating ke rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu baginda merapatkannya kemudian bersabda, “Sesungguhnya tatkala roh dicabut, maka pandangan mata akan mengikutinya.” Semua ahli keluarga itu menjerit. Lalu baginda bersabda, “Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan.” – Sahih Muslim, kitab Janaiz.

v  Malam Lailatulqadar
Allah telah berfirman, “Malam Kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” –Surah al-Qadr : 3 – 5
Imam as-Syaukani berkata, kemuliaan lailatulqadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. –Tuhfatud Dzakirin.

v  Pada Hari Arafah
Daripada Amr bin Syu’aib r.a, daripada bapanya dan daripada datuknya bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah.” –Sunan At-Tarmidzi, bab Jamiud Da’waat.

Semoga kita dapat mengamalkan ilmu yang kita peroleh sebaiknya.InsyaAllah, doa yang hadir bersama kerendahan hati dalam memohon akan dimakbulkan Allah.

Sumber : Mutiara Akidah & Ibadat

Monday 9 April 2012

AL-QURAN MENJANA TRANSFORMASI UMMAH

AL-QURAN MENJANA TRANSFORMASI UMMAH

Cahaya matahari menyilau mata,
          Rasa pedih berusaha menahan,
Lafaz bismillah pembuka kata,
          Gelanggang syarahan saya mulakan.

          Assalamualaikum w.b.t.Terima kasih tuan pengacara,para hakim yang cendekia,penjaga masa yang setia, seterusnya hadirin umat Muhammad semua.Berdirinya pokok kerana akarnya,berdirinya rumah kerana tiangnya, berdirinya saya di sini kerana hadirin sekalian yang duduk sedia menantikan syarahan saya yang bertajuk "Al-quran Menjana Transformasi Ummah".Sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut dan terperinci lagi,izinkan saya untuk mendefinisikan frasa demi frasa tajuk syarahan saya.

          Frasa yang pertama ialah "al-quran".Al-quran ialah kalamullah yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantara Jibril.Membacanya merupakan satu ibadah dan mendapat pahala.Seperti sabda Rasulullah s.a.w : "Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-quran,maka baginya satu kebaikan,satu kebaikan menyamai sepuluh pahala,Aku tidak bermaksud Alif,Lam,Mim itu satu huruf,tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf"(HR Ad-Tarmizi).Menjana pula bererti mewujudkan atau menghasilkan.Di dalam Kamus Dewan,transformasi bermaksud perubahan bentuk sama ada dalam bentuk sifat,rupa,keadaan dan sebagainya.Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w di Madinah,frasa 'ummah' merujuk kepada orang Islam.Tetapi pada umumnya,ummah bermaksud masyarakat atau umat manusia.Jadi,secara tuntasnya cogan kata 'Al-quran Menjana Transformasi Ummah' bermaksud al-quran mampu menghasilkan perubahan terhadap umat manusia supaya menjadi lebih baik.

Sidang hadirin paksi umat,
          Meniti hujah saya yang pertama bernaung di bawah kata kunci :Konsep tamadun dari perspektif Islam. Menurut Islam,tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah.Oleh itu,Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah.Menurut Syed Naquib Al-Attas,tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur sesebuah masyarakat.Pandangan ini disokong oleh Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.Ini bermakna masyarakat hari ini masih belum mencapai tahap tamadun dari kaca mata Syed Naquib Al-Attas,kerana masih belum mencapai tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur.Dewasa ini,semakin ramai terutamanya golongan muda terpengaruh dengan budaya negatif yang jauh tersimpang dari ajaran Islam.Hal ini disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak berpegang dengan ajaran al-quran.Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini.Kita perlu mengorak langkah untuk berubah menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Hadirin minda kelas pertama,
          Meniti hujah saya yang kedua bernaung di bawah kata kunci : Al-quran sebagai pegangan.Sabda Rasulullah s.a.w : "Ku tinggalkan kepadamu dua pusaka abadi,apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat,iaitu Kitab Allah dan sunnahku".Maka dengan ini,jelaslah yang al-quran ini merupakan panduan yang hakiki.Al-quran bukan sekadar untuk dibaca malah inti pati al-quran wajib dilaksanakan.Jika masyarakat hari ini mengamalkan kandungan al-quran,maka akhlak masyarakat akan mengikut akhlak Rasulullah s.a.w kerana Saidatina Aisyah pernah berkata :"Akhlak Rasulullah itulah akhlak al-quran".Jadi, dengan hidupnya akhlak al-quran dalam kalangan masyarakat nescaya masalah-masalah gejala sosial seperti berzina,membuang bayi dan berjudi yang meruncing ini dapat dilenyapkan.Oleh itu,kita mesti melangkah dengan seribu kekuatan untuk kembali kepada fitrah dengan menjadikan al-quran sebagai pegangan hidup.

Hadirin warga dewan yang cendekia,
          Meniti hujah saya yang ketiga bernaung di bawah kata kunci : Al-quran adalah pembeza antara yang benar dan salah.Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-quran yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskanpetunjuk dan perbezaan antara benar dengan yang salah".Kehidupan ini tidak pernah sepi daripada suasana yang menimbulkan pertanyaan kepada diri kita.Yang manakah benar? dan bagaimanakah caranya untuk kita membezakan sama ada ia adalah benar atau salah?Jawapannya mudah sahaja.Al-quranlah jawapannya.Al-quran telah diturunkan untuk membezakan antar yang benar dan salah.Jadi mengapa kita perlu bersusah payah untuk memilih antara yang benar dan salah?Semuanya telah terukir di dalam al-quran.Ramai yang telah tersalah memilih jalan kehidupan kerana mereka meninggalkan al-quran.Oleh itu,kita perlu menjadikan al-quran sebagai teman hidup supaya kita tidak tersilap memilih yang benar dan yang salah.

Hadirin yang dirahmati Allah,
         Meniti hujah saya yang keempat bernaung di bawah kata kunci : Al-quran adalah cahaya yang menerangi.Al-quran adalah petunjuk yang menerangi ke arah jalan yang lurus dan selamat.Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah ayat 15 dan 16 yang bermaksud : "Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran dari Allah dan sebuah kitab (al-quran) yang jelas nyata keterangannya.Dengan (al-quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengan al-quran,Allah) keluarkan mereka dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya,dan (dengan al-quran,Allah) menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".Kegelapan adalah suasana kehidupan yang tidak menentu,tidak terarah dan tidak terurus.Ia umpama orang yang berjalan tidak menentu di dalam bilik yang gelap tanpa mengetahui hala tujuannya,dan meraba-raba itu dan ini tanpa mengetahui sama ada ia bermanfaat atau tidak untuk dirinya.Al-quran adalah cahaya yang menerangi sehinnga orang yang menggunakan "suluhan" al-quran sebagai petunjuk akan memiliki kehidupan yang bermatlamat, terarah lagi terurus.

Hadirin pasca kemerdekaan,
          Melalui keempat-empat hujah yang telah saya bentangkan,amat jelas kepada kita seluruh umat manusia bahaw kehadiran al-quran dalam hidup amat bermakna.Dengan mengamalkan inti pati al-quran,kita mampu berubah menjadi lebih baik daripada semalam,dan esok lebih baik daripada hari ini.Pepatah melayu ada menyebut,"hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih".Walaupun kehadiran al-quran memberi sinar dalam kegelapan hidup kita,jika isi kandungannya tidak diamalkan,sinar itu akan hilang sekelip mata.Firman Allah s.w.t,mafhumnya : "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu,melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri".Konklusinya,kita perlu membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah dan mengangkat al-quran sebagai panduan hidup agar hidup kita sentiasa diredhai oleh Maha Berkuasa,Allah s.w.t.Akhir kalam,saya sudahi syarahan saya dengan serangkap pantun.

Al-quran pembimbing sepanjang zaman,
          DiturunkanNya kepada Rasulullah,
Diwasiatkan untuk diamalkan,
          Mampu menjana transformasi ummah.

Sekian,wabillahi taufiq wal hidayah,wassalamualaikum w.b.t.

Thursday 15 March 2012

Istimewa buat calon SPM 2011

Assalamualaikum.Sedar tak sedar,tarikh keputusan SPM 2011 semakin hampir dengan kita.Adakah sahabat-sahabat semua berasa gementar dengan keputusan yang bakal diterima?Adakah persoalan yang sama kerap bermain di fikiran sahabat-sahabat,iaitu 'macam mana la result ak nanti?'?

Kita talah pun belajar untuk ilmu yang diguna pakai dalam kehidupan seharian dan untuk mendapat keputusan yang sangat cemerlang dalam SPM.Kita mahukan keputusan yang cemerlang untuk mengharumkan nama sekolah,ibu bapa dan untuk mengejar cita-cita.

Kita telah pun berusaha sedaya upaya untuk mendakap kejayaan.Segala penat lelah telah kita lalui di dalam dewan peperiksaan.Segala perasaan nervous telah pun kita alaminya.

Tetapi adakah kita telah berdoa dengan serendah-rendah hati , memohon kejayaan daripada Pencipta kita? Janganlah kita berhenti berdoa.Teruskan,sampai bila-bila.Doa itu senjata orang mukmin.

Jika kita telah berusaha bersungguh-sungguh,berdoa dan bertawakal kepada Allah S.W.T,insyaAllah kita akan beroleh kejayaan.Amiin.

Jadi,buat pesanan buat diri yang lemah ini dan semua sahabat,terimalah apa sahaja ketentuan Illahi terhadap diri kita.Ingatlah bahawa setiap perkara itu pasti ada hikmahnya.Mungkin kita tidak bejaya dalam SPM,kita akan berjaya di universiti.Percayalah! ada hikmahnya...

-SEMOGA BERJAYA-

Tuesday 14 February 2012

Meraikan Hari Valentine.Apa hukumnya?Sedarlah wahai remaja !!!

Benarkah hukum menyambut bari Valentine adalah haram?Bagaimana pula hukum menjual hadiah dan bunga kepada pasangan bukan Islam sempena hari itu?

Asal-usul Valentine

Tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah wujud sejak dahulu lagi. Menurut tarikh kalendar Athena Kuno,periode antara pertengahan Januari dan Februari dinamakan sebagai bulan Gamelion,yang telah dipersembahkan semasa pernikahan suci antara Dewa Zeus dan Hera.
        Pada zaman Roma kuno,15 Februari adalah hari raya Lupercalia iaitu perayaan Lupercus yang merupakan Dewa kesuburan.Sesetengahnya dilambangkan bertelanjang dan berpakaian kulit kambing.Sebahagian daripada ritual penyucian,para pendeta Lupercus menyembahkan korban kambing kepada sang dewa.Kemudiannya setelah meminum perahan anggur,mereka akan berlari-lari di jalanan kota Roma sambil membawa potongan-potongan kulit domba(kambing kibas) dan menyentuh sesiapa yang mereka temui.Bagi wanita-wanita muda, mereka akan maju secara sukarela kerana mempercayai cara itu dapat meningkatkan tahap kesuburan dan dapat melahirkan anak dengan mudah.

Ringkasnya ia seperti berikut:

1)Perayaan dalam Islam telah disebutkan oleh Nabi sebagaimana sabdanya yang bermaksud,iaitu:
    "Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing,dan ini(Aidilfitri dan Aidiladha) adalah         perayaan kita"-Riwayat Al-Bukhari,952:Muslim,1892

         Sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja. Bagaimanapun,jika sesuatu majlis,keraian atau sambutan itu dianjurkan bukan atas nama agama serta tiada kaitan dengannya,bahkan dibuat atas dasar adat semata-mata ia boleh dan diharuskan untuk dirai dengan syarat sambutannya tidak disertai perkara berunsur maksiat dan syirik.
        Contohnya sambutan hari Kemerdekaan,sambutan ulang tahun penubuhan sesebuah syarikat atau sebagainya.Cuma,ia bukanlah disambut sebagai hari raya tetapi hanya sebagai majlis keraian setaraf dengan majlis perkahwinan dan sepertinya sahaja.Ini bermakna,tujuan sesuatu perayaan itu disambut perlu disemak terlebih dahulu dan ternyata sambutan Valentine ini berasal daripada cerita dongeng,karut dan syirik.

2)Tidak harus meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan.Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa,ijmak ulama' telah bersepakat melarang penyerupaan meraikan perayaan agama (atas asas agama) selain Islam.

3)Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang.Kasih sayang dalam Islam bersifat universal dan tidak dibatasi oleh waktu,tempat,objek dan motif.Hal ini sesuai dengan hadis,"Cintailah manusia seperti kamu mencintai diri sendiri."-Riwayat Bukhari

           Islam melarang keras perasaan benci membenci dan permusuhan,namun sangat menjunjung tinggi erti kasih sayang terhadap umat manusia.Rasulullah bersabda,"Janganlah kamu saling membenci,berdengki-dengkian,saling berpalingan,dan jadilah kamu sebagai hamba Allah yang bersaudara.Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya melebihi tiga hari."-Riwayat Muslim

          Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturrahim,ziarah-menziarahi, meringankan beban tetangga,mendamaikan orang yang berselisih,mengajak kepada kebenaran (amar makruf) dan mencegah daripada perbuatan mungkar.

4)Sambutan hari Valentine hari ini menjadi lebih keji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat,sehingga ada yang sanggup menggadaikan maruah diri kepada kekasih yang bernafsu 'syaitan'.

5)Islam juga melarang umatnya daripada terlibat dan bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya.Firman Allah,"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang kafir), maka janganlah kamu duduk bersama mereka,sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain.Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian),tentulah kamu serupa dengan mereka.Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang munafik dan kafir di dalam Jahanam."-Surah al-Nisaa':140

       Diriwayatkan daripada Umar r.a bahawa dia pernah mendengar Rasulullah bersabda,"Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat,maka janganlah duduku pada suatu hidangan yang padanya diedarkan arak."(Riwayat Ahmad).Maka majlis Valentine itu adalah sama dengan majlis arak yang mana hukumnya haram.

6)Hukum memberi hadiah sempena hari Valentine juga haram berdasarkan firman Allah,"Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan."Bagaimanapun,hukum menjual bunga pada hari itu disifatkan sebagai syubhah,makruh, atau haram khas.

           Telah diriwayatkan bahawa,seorang lelaki telah memberi arak kepada Nabi s.a.w sebagai hadiah. Kemudian baginda memberitahu bahawa arak telah diharamkan oleh Allah.Lalu lelaki itu bertanya, "Bolehkah saya jual arak ini? Baginda menjawab,"Zat yang mengharamkan meminumnya,mengharamkan juga menjualnya.Lelaki itu bertanya lagi,"Bagaiman kalau saya hadiahkan kepada orang Yahudi? Jawab Baginda lagi,"Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan arak,diharamkan juga untuk diberi kepada orang Yahudi. Lelaki itu terus bertanya,"Apa yang harus saya  lakukan?" Baginda terus menjawab,"Tuang saja di dalam parit air."-Al-Humaidi dalam musnadnya.

           Maka, benda yang haram,tetap haram untuk dijual mahupun dihadiahkan.Dalam hal menjual bunga, telah menjadi syubhah kerana telah diketahui ia dibeli khusus untuk meraikan Valentine.Maka hukumnya seperti menjual anggur kepada tukang arak.Ia tidak dibenarkan dalam Islam menurut pendapat yang terkuat, juga dilarang menirim ucapan hari itu.

Saturday 14 January 2012

Islam nama sahaja

Sabda Nabi Muhammad S.A.W,ertinya;

Daripada  Ali bin Abi Talib r.a. berkata:Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:"Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tinggal daripada al-quran itu kecuali hanya tulisannya.Masjid-masjid mereka tersegam indah tetapi ia kosong daripada hidayah.Ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit.Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali".

KETERANGAN

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. ini.Kalau belum sampai pun,ianya sudah mendekati ke sana.Ulama' yang dimaksudkan dlam hadis ini ialah ulama' su' yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia bukan ulama' akhirat yang mewarisi tugas para nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari semasa ke semasa.

Sumber:Buku Sedarkah Kamu Wahai Manusia Antara Semalam Dan Hari Ini
            WJSB RESOURCES

Sunday 8 January 2012

Sejarah Rasul ULUL 'AZMI

1.NABI MUHAMMAD S.A.W.

  • Bapanya,Abdullah meninggal dunia sewaktu Baginda masih dalam kandungan.Ibunya,Siti Aminah pula meninggal dunia ketika Baginda masih kecil.Kemudian bapa saudara Baginda,Abu Talib dan isterinya yang tercinta Siti Khadijah r.ha. pula maninggal dunia pada peringkat awal kenabiaannya.Mereka adalah antara orang yang banyak menyokong dan membantu kehidupan serta usaha-usaha dakwah Rasulullah SAW.
  • Kematian anak-anak Baginda berlaku pada waktu mereka masih kecil lagi.Yang tinggal dan membantu Baginda dalam menegakkan Islam ialah Fatimah al-Zahrah.
  • Penentangan hebat kafir Quraisy terhadap Baginda khusunya daripadaa Abu Lahab,Abu Jahal,Abu Sufyan dan ketua munafik,Abdullah bin Ubay bin Salul.
  • Cedera dalam Perang Uhud di mana umat Islam tewas kepada tentera Quraisy Makkah.
  • Menghadapi ancaman hebat daripada penduduk Makkah selama 13 tahun menjadi nabi serta puak Yahudi Bani Quraidzah,Bani Nadhir dan Bani Qainuqa' di Madinah.
  • Baginda taat beribadah,hormati orang tua,menyayangi kanak-kanak,banyak berpuasa,berjaga malam,tangkas di medan perang,pemimpi yang berwibawa dan sebagainya.


2.NABI IBRAHIM A.S.

  • Penentangan kaumnya terhadap dakwah yang baginda bawa khususnya daripada bapa baginda sendiri.
  • Dihukum bunuh dengan dilemparkan ke dalam api yang marak oleh Raja Namrud.Dengan izin Allah swt,api menjadi sejuk dan baginda terselamat.
  • Baginda taat beribadat kepada Allah swt.
  • Baginda memperolehi anak (Nabi Ismail) apabila mengahwini Siti Hajar setelah sekian lamanya tidak dikurniakan anak bersama Siti Sarah. (Siti Sarah,kemudiannya mendapat anak lelaki,Nabi Ishak)
  • Kisah penyembelihan anaknya Nabi Ismail a.s. yang dijalankan semata-mata takwa terhadap Allah swt.


3.NABI MUSA A.S.

  • Walaupun baginda menjadi anak angkat Raja Firaun yang zalim,baginda tetap tegas menjalankan usaha dakwah menegakkan agama Allah.Penentangan Raja Firaun dan kaumnya terhadap baginda menjadi-jadi dengan cubaan membunuh baginda.
  • Raja Firaun memanggil tukang-tukang sihir untuk menundukkan Nabi Musa a.s. tetapi tongkat yang dianugerahi mukjizat menjadi ular besar menelan semua ular tukang-tukang sihir tersebut.
  • Baginda terpaksa melarikan diri bersama-sama para pengikutnya melintasi Laut Merah yang terbelah (dengan pertolongn Allah) sedangkan Firaun dan bala tentera yang mengekorinya tenggelam di dalam arus laut yang deras itu.
  • Asiah,isteri Raja Firaun (ibu angkat Nabi Musa) menerima dakwah yang baginda bawa.
  • Baginda kuat beribadah,kurang tidur dan banyak berzikir.


4.NABI ISA A.S.

  • Baginda tabah menghadapi tohmahan masyarakat kerana dilahirkan (tanpa bapa) oleh ibu baginda,Siti Maryam.Ini semua adalah kudrat dan kehendak Allah swt.
  • Penentangan berterusan daripada kaumnya sendiri.
  • Baginda kuat beribadah,kurang tidur dan banyak berpuasa.


5.NABI NUH A.S.

  • Dakwah baginda tidak diterima oleh anak dan isteri baginda sendiri.
  • Umur baginda yang melebihi 900 tahun kebanyakannya digunakan untuk umat baginda mengesakan Allah.
  • Baginda tabah menjalankan usaha dakwah sehinggakan waktu banjir besar melanda kaumnya,baginda masih tetap mengajak isteri dan anak baginda supaya bertaubat dan mentaati perintah Allah.Isteri dan anak baginda akhirnya tenggelam dalam banjir manakala baginda bersama pengikut setia dan binatang-binatang selamat belayar di dalam bahtera.
  • Baginda kuat beribadah.tidak mudah putus asa dalam usaha dakwah dan menyayangi semua makhluk Allah.

Saturday 7 January 2012

orang yang memegang agama seperti pegang bara api

Sabda Nabi Muhammad S.A.W,ertinya;

Daripada Anas r.a. berkata:"Rasulullah S.A.W bersabda:"Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".

KETERANGAN

Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang mengamalkan ajaran agamanya dia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat.Kalau dia tidak bersungguh-bersungguh,nescaya agamanya terlepas dari genggamannya.Ini adalah disebabkan suasana sekelilingnya tidak membantu untuk dia menunaikan kewajiban agamanya,bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang  menyebabkan kefasiqan.Ini juga bermaksud,orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya disamping tidak mendapat kemudahan.

Sumber:Buku Sedarkah Kamu Wahai Manusia Antara Semalam Dan Hari Ini
             WJSB RESOURCES

Friday 6 January 2012

sedikit lelaki dan banyak perempuan

Sabda Nabi Muhammad S.A.W,ertinya;

Daripada Anas r.a berkata:"Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku.Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:"Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu banyak kejahilan,berlaku banyak penzinaan,ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki sehingga nantinya seorang lelaki akan menguruskan lima puluh orang perempuan".

                                                                                                    -H.R. BUKHARI MUSLIM-

KETERANGAN

Diantara tanda hampirnya kiamat ialah sedikit ilmu agama,banyak kejahilan,banyak berlaku penzinaan,sedikit kaum lelaki dan ramai kaum perempuan.Statistik penduduk dunia pada hari ini menunjukkan bahawa jumlah kaum perempuan adalah lebih ramai dari kaum lelaki.Di setengah negara terdapat nisbah bagi bilangan setiap lelaki berbanding dengan sebelas wanita (1:11).Dan kalau kita teliti di merata tempat,kita akan membuat kesimpulan bahawa perempuan lebih banyak dari lelaki.Menurut Imam Ibnu Hajar,sebab bilangan perempuan lebih ramai dari kaum lelaki adalah akibat peperangan dimana banyak yang terbunuh dalam peperangan adalah kaum lelaki dan juga Allah S.W.T menghendaki kebanyakan yang lahir di dunia ini adalah perempuan dan sedikit dari kaum lelaki.

Sumber:Buku Sedarkah Kamu Wahai Manusia Antara Hari Ini Dan Semalam
            WJSB RESOURCES

Wednesday 4 January 2012

ilmu agama akan beransur-ansur hilang

Sabda Nabi Muhammad S.A.W,ertinya;

Daripada Abdullah bin Amr bin A's berkata:Aku mandengar Rasulullah S.A.W bersabda "Bahawasanya Allah S.W.T tidak mencabut(menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia.Tetapi Allah S.W.T menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama'.Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama',orang ramai akan akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka.Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya,mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan.Mereka sesat dan akan menyesatkan orang lain."

                                                                                                               -H.R. MUSLIM-

KETERANGAN
   Sekarang ini,alim-ulama' telah berkurangan.Satu demi satu pergi meninggalkan kita.Kalau peribahasa melayu mengatakan,"patah tumbuh hilang berganti",peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim-ulama'.Mereka patah,payah tumbuh dan hilang,payah berganti.Sampailah satu saat nanti permukaan bumi ini kosong dengan ulama'.Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini.Alam penuh dengan kesesatan.Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup.Sebenarnya alim-ulama'lah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di muka bumi ini.Maka apabila telah putus alim-ulama',hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

   Di akhir-akhir ini,kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W tadi.Di mana bilangan alim-ulama' hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai.Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian dalam bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia.Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini.Seharusnya kita mengejar akhirat dan dunia,bukanlah mengejar dunia semata-mata.

SUMBER:Buku 'Sedarkah kamu wahai manusia antara hari ini dan semalam'
                 WJSB RESOURCES

Sunday 1 January 2012

Membuka lembaran baru!

"Another year has gone that made us strong...The path was long but we walked with song...There were fears and tears,but we also had reasons for cheers"

"Happy New Year","Selamat Tahun Baru",itulah ungkapan yang selalu diucapkan oleh kita kepada rakan-rakan pada malam tahun baru.Mungkin setiap orang berbeza ungkapannya;mungkin ada yang membuat ayat-ayat yang gramatis untuk diucapkan kepada rakan-rakan;mungkin ada yang tidak membuat ayat-ayat ucapan yang gramatis itu sendiri tetapi mencarinya di internet,biasalah zaman maju,semuanya ada di internet;atau mungkin juga ada yang langsung tidak mengucapkan ucapan tahun baru kepada rakan-rakannya.Terpulanglah kepada diri masing-masing.Tetapi kita semua bakal membuka lembaran baru dalam kehidupan kita.Bak kata orang,"tutup buku lama,buka buku baru".

Datangnya tahun baru bagaikan sinar harapan bagi setiap yang bergelar insan.Azam yang baru pasti akan ditanam di dalam hati.Tetapi kadang-kala,kita lupa yang kita menanam azam baru sedangkan azam lama belum lagi berbuah.Adakah kita telah mencapai azam yang lalu?Mungkin ada yang berkata "saya sudah",ataupun "saya belum",atau mungkin juga ada yang berkata "entahlah,saya pun dah lupa azam tahun lepas".Apa kata anda?

Selalunya azam bagi pelajar yang akan ambil peperiksaan ialah "aku akan belajar bersungguh-sungguh agar aku dapat keputusan yang cemerlang".Guru Biologi saya iaitu Puan Hayati pernah berkata "selalunya azam ini bertahan selama dua minggu sahaja,lepas itu,entah ke mana dah azamnya".Memang saya dan rakan-rakan mengakuinya.Ia memang betul berlaku kepada kami.Jadi,azam itu memang penting,tetapi yang lebih penting ialah usaha menunaikan azam tersebut.Untuk mendaki gunung yang tinggi,mestilah dimulakan dengan langkah pertama kerana jika tiada langkah pertama,tiadalah langkah yang seterusnya.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:celakalah bagi orang yang hari ini lebih teruk dari semalam,esok lebih teruk dari hari ini.Seharusnya kita perlu menoleh ke belakang seketika sebagai peringatan terhadap diri.Seperti memandu kereta,kita perlu melihat cermin belakang sekali-sekala sebagai langkah berjaga-jaga.Jika kita hanya memandang ke hadapan sahaja,kita mungkin akan mengalami kemalangan.

Orang yang beriman tidak akan dipatuk oleh ular yang sama pada lubang yang sama.Maknanya,orang yang beriman tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.Semoga kita belajar dari kesilapan pada tahun lalu untuk dijadikan iktibar supaya kita terus melangkah dengan gigih pada tahun baru ini.

"You cannot change your PAST but you can make YOUR PRESENT full of JOY by learning from your mistakes done in PAST.Wishing YOU ALL a YEAR and FUTURE full of HAPPINESS and BLESSINGS..."

Semoga lembaran yang baru ini akan menjadi lembaran yang berharga dan bermakna bagi kita semua.

Yang baik itu datang daripada Allah.Yang buruk itu juga datang daripada Allah tetapi disandarkan pada diri saya yang lemah ini.Akhir kata,ambillah yang jernih,buanglah yang keruh.

Sekian,wabillahitaufiqwalhidayah,wassalamualaikumwarahmatullah.